Sepanyol Dan Perancis Jadi Tumpuan, Jepun "Kuda Hitam" Di Piala Dunia 2026 - Penganalisis
Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Beberapa hari sebelum tirai Piala Dunia FIFA 2026 dibuka, perdebatan mengenai pasukan paling berpotensi menjulang trofi berprestij itu semakin hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak.
Walaupun juara bertahan Argentina masih dianggap antara pencabar utama, ramai pemerhati dan penganalisis bola sepak melihat Sepanyol dan Perancis sebagai pasukan paling lengkap untuk melangkah jauh dalam kejohanan dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Pensyarah Kanan Sukan dan Rekreasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohamad Nizam Nazarudin berkata Sepanyol muncul pilihan utama berdasarkan gabungan prestasi semasa, kestabilan taktikal serta keseimbangan antara pemain muda dan berpengalaman.
Beliau berkata kejayaan menjuarai Liga Negara-Negara 2023 dan Euro 2024 membuktikan skuad La Roja kendalian Luis de la Fuente itu memiliki sistem permainan yang mantap dan mampu mengekalkan prestasi tinggi secara konsisten.
“Dari sudut taktikal, Sepanyol memiliki satu daripada jentera tengah terbaik dunia. Kehadiran Rodri sebagai pemain tengah bertahan bertaraf dunia memberikan kestabilan kepada pasukan, manakala Pedri bertindak sebagai penggerak utama yang mengawal tempo permainan.
"Keupayaan mereka menguasai bola, mencipta ruang dan mengawal rentak perlawanan menjadikan Sepanyol sukar ditewaskan dalam situasi pertandingan berintensiti tinggi," kata bekas Ketua Sains Sukan dan Penganalisis Prestasi Sabah FC dari 2021 hingga 2023 itu kepada Bernama.
Beliau berkata kekuatan juara 2010 itu turut diperkukuh barisan pemain muda yang berada pada tahap perkembangan terbaik seperti Lamine Yamal dan Nico Williams.
Mohamad Nizam berkata faktor itu ditambah dengan kedalaman skuad dan kestabilan taktikal, menjadikan Sepanyol sebagai pasukan paling seimbang menjelang edisi ke-23 Piala Dunia.
Sementara itu, jurulatih berpengalaman luas Irfan Bakti Abu Salim pula memilih Perancis dan Argentina berdasarkan kemampuan kedua-dua pasukan menyesuaikan diri dengan kehendak bola sepak moden.
Beliau berkata kejayaan dalam kejohanan besar masa kini banyak bergantung kepada keupayaan pasukan melaksanakan tekanan tinggi, melakukan transisi pantas daripada bertahan kepada menyerang serta memiliki pemain yang mampu membuat keputusan tepat dalam situasi berintensiti tinggi.
“Kalau melihat kepada corak permainan bola sepak moden, saya memilih Perancis dan Argentina kerana kedua-dua pasukan ini bermain dengan tekanan tinggi, mempunyai transisi yang sangat cepat daripada bertahan kepada menyerang, selain dibarisi pemain yang memiliki kelajuan serta bijak.
“Dalam kejohanan seperti Piala Dunia, aspek-aspek ini sangat penting kerana setiap perlawanan memerlukan pasukan membuat penyesuaian dengan pantas,” kata Ketua jurulatih Kelantan Red Warrior itu.
Pandangan hampir sama turut dikongsi penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli yang meletakkan Perancis sebagai pilihan utama untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga selepas 1998 dan 2018.
Menurut Pekan, kekuatan terbesar skuad Les Blues bimbingan Didier Deschamps terletak pada kualiti pemain dimiliki daripada kesebelasan utama hingga bangku simpanan.
“Saya masih meletakkan sokongan kepada Perancis kerana bagi saya mereka merupakan antara pasukan paling bernilai di dunia ketika ini. Jika kita melihat keseluruhan skuad, mereka mempunyai pemain-pemain bertaraf dunia di setiap posisi.
“Barisan serangan mereka pula dibarisi pemain berkualiti seperti Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele yang mampu mengubah keputusan perlawanan pada bila-bila masa,” katanya yang mengakui faktor kedalaman skuad sering menjadi pemisah antara pasukan sekadar bersaing dan pasukan yang berupaya memenangi Piala Dunia.
Dalam pada itu, Pekan turut menjangkakan Jepun mampu mencipta kejutan dan muncul sebagai pasukan ‘kuda hitam’ pada edisi kali ini.
Beliau berkata skuad Samurai Biru kini dibarisi ramai pemain yang beraksi di liga-liga utama Eropah selain menunjukkan prestasi konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Jika melihat kepada keputusan perlawanan persahabatan antarabangsa dan prestasi Jepun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka berjaya menewaskan beberapa pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Mereka juga jarang tewas dan dibarisi ramai pemain yang beraksi di Eropah.
“Saya percaya Jepun mempunyai kemampuan untuk melangkah lebih jauh berbanding pencapaian sebelum ini dan berpotensi menjadi pasukan ‘kuda hitam’ yang perlu diberi perhatian oleh pasukan-pasukan gergasi dunia,” katanya.
Piala Dunia 2026 berlangsung di tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico melibatkan 48 buah pasukan, yang merupakan jumlah penyertaan terbesar dalam sejarah kejohanan berprestij itu sejak julung kali diadakan di Uruguay pada 1930.
-- BERNAMA
Piala