Romario Mahu Brazil Tidak Gentar Tekanan

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Brazil Training - Columbia Park Training Facility, Morristown, New Jersey, U.S. - June 12, 2026 Brazil's Vinicius Junior and teammates during training IMAGN IMAGES via Reuters/Caean Couto
13/06/2026 03:30 PM

RIO DE JANEIRO, 13 Jun (Bernama-Xinhua) -- Penyerang legenda Brazil Romario berkata pemain skuad kebangsaan negara itu sepatutnya menerima tekanan dan bukannya gentar terhadapnya ketika juara lima kali itu berusaha menamatkan penantian 24 tahun untuk menjulang gelaran Piala Dunia.

Brazil dijadual menentang Maghribi di New Jersey pada Sabtu dalam satu daripada aksi pembukaan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada yang paling dinanti-nantikan. Skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu turut akan berdepan Haiti dan Scotland dalam Kumpulan C.

“Semua orang merasai tekanan tetapi ada yang berjaya menggunakannya secara positif, manakala yang lain berasa gentar dan “gagal menyerlah”.

“Ketika itulah pemain hebat akan tampil ke hadapan, apabila pemain istimewa perlu memikul tanggungjawab itu,” kata Romario kepada akhbar Brazil O Globo, lapor Xinhua.

Romario turut membuat perbandingan dengan kejayaan Brazil menjulang Piala Dunia pada 1994, apabila beliau menjaringkan lima gol dan memenangi anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan.

“Pada akhirnya, semuanya bergantung kepada individu,” katanya. “Secara peribadi, saya menangani tekanan dengan sangat baik. Perlawanan besar memberi motivasi kepada saya, dan tekanan serta tanggungjawab untuk menjadi penentu kemenangan memberi keterujaan besar kepada saya.

“Sama seperti hari ini, pada 1994 kami juga telah menunggu 24 tahun untuk memenangi Piala Dunia. Saya tahu itu akan menjadi Piala Dunia saya, dan kami mempunyai pasukan yang benar-benar mampu membawa pulang gelaran keempat.”

Romario menjaringkan 55 gol dalam 71 penampilan bersama Brazil dan berada di kedudukan keempat dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu.

-- BERNAMA-XINHUA