RTM Perkukuh Infrastruktur Digital, Lindungi Hak Siaran Eksklusif Piala Dunia
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memperkukuh infrastruktur keselamatan digital pelbagai lapisan bagi melindungi hak siaran eksklusif Piala Dunia FIFA 2026 dan pelaburan industri kreatif negara.
Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan memaklumkan langkah itu diambil susulan laporan berkaitan akses siaran Piala Dunia FIFA 2026 melalui penggunaan aplikasi Rangkaian Persendirian Maya (VPN) dari luar negara menerusi RTMKlik.
“Pemantauan serta penambahbaikan teknikal turut dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kestabilan platform dan pengalaman tontonan yang optimum,” menurut kenyataan itu.
Menurut Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM sebagai pemegang hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia komited memastikan perkhidmatan berkenaan dapat dinikmati dengan lancar oleh penonton tempatan serta mematuhi syarat pelesenan dan hak penyiaran yang ditetapkan.
RTM menghargai keprihatinan serta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklum balas yang membantu meningkatkan mutu perkhidmatan penyiaran negara.
-- BERNAMA
Piala