Cape Verde Cipta Sejarah, Mara Ke Pusingan 32 Terbaik Dalam Penampilan Sulung Piala Dunia

--Reuters
27/06/2026 12:18 PM

ISTANBUL, 27 Jun (Bernama-Anadolu) -- Cape Verde mencipta sejarah apabila mara ke pusingan 32 terbaik dalam penampilan sulung mereka di Piala Dunia FIFA 2026 selepas seri tanpa jaringan dengan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir Kumpulan H di Stadium Houston, 1Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Walaupun perlawanan berakhir 0-0, Cape Verde lebih banyak menguasai permainan dan beberapa kali hampir memecah kebuntuan, terutama pada penghujung babak kedua menerusi serangan bertali arus. Namun, pertahanan Arab Saudi kekal ampuh mengekang asakan lawan.

Arab Saudi turut berusaha mencari ruang untuk membolosi gawang Cape Verde, namun gagal mencipta peluang.

Keputusan kemenangan Sepanyol ke atas Uruguay akhirnya memihak kepada Cape Verde apabila mereka melonjak ke tangga kedua Kumpulan H, sekali gus muncul sebagai negara paling kecil pernah melepasi saingan peringkat kumpulan dalam sejarah kejohanan itu.

Cape Verde menamatkan saingan Kumpulan H di tempat kedua, mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya. 

Cape Verde dijadual menentang Argentina pada pusingan 32 terbaik.

-- BERNAMA-ANADOLU