Sepanyol Tumpaskan Uruguay 1-0, Sah Ke Pusingan 32 Terbaik Piala Dunia

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group H - Uruguay v Spain - Estadio Guadalajara, Guadalajara, Mexico - June 26, 2026 Uruguay's Agustin Canobbio is shown a red card by referee Ismail Elfath REUTERS/Raquel Cunha
27/06/2026 01:48 PM

ISTANBUL, 27 Jun (Bernama-Anadolu) -- Sepanyol menewaskan Uruguay 1-0 untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 dalam perlawanan akhir Kumpulan H di Stadium Guadalajara, Mexico, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Selepas aksi seimbang pada awal permainan, Alex Baena meletakkan Sepanyol di hadapan pada minit ke-42 apabila menyambut hantaran lintang dari bahagian kanan sebelum melepaskan rembatan yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera. 

Uruguay yang semakin terdesak terus melancarkan serangan demi serangan bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya, namun gagal mencipta peluang.

Sepanyol hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-86 menerusi Ferran Torres, namun rembatannya sekadar menggegarkan palang gol. 

Harapan Uruguay semakin tipis apabila Agustin Canobbio dilayangkan kad merah pada masa kecederaan, minit ke-90+4, menyebabkan pasukan itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Uruguay gagal memanfaatkan baki masa yang ada dan akhirnya akur dengan kekalahan.

Sepanyol muncul juara Kumpulan H untuk mara ke pusingan seterusnya, manakala Uruguay menamatkan saingan di tempat ketiga dengan hanya dua mata dan tersingkir daripada kejohanan.

Setakat ini, Sepanyol dijangka menentang Austria pada pusingan 32 terbaik.

-- BERNAMA-ANADOLU