FIFA 2026: Hong Myung-bo Letak Jawatan Ketua Jurulatih Korea Selatan Selepas Tersingkir Awal

South Korea coach Hong Myung-bo REUTERS/Eloisa Sanchez
29/06/2026 08:34 AM

ZAPOPAN (Mexico), 29 Jun (Bernama-Yonhap) -- Hong Myung-bo meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Korea Selatan pada Ahad, sehari selepas pasukan itu tersingkir daripada saingan Piala Dunia FIFA 2026, lapor Agensi Berita Yonhap.

Hong, 57, mengumumkan peletakan jawatan itu pada sidang media yang diadakan di pusat latihan pasukan di Zapopan, barat Mexico.

"Hari ini, saya meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki kebangsaan Korea Selatan," kata Hong ketika membacakan kenyataan yang disediakan.

"Saya ingin memohon maaf kepada penyokong yang meminati bola sepak Korea dan sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan. 

"Kami gagal mencapai keputusan yang diharapkan oleh penyokong dan saya sebagai ketua jurulatih bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan itu," katanya.

Hong dilantik semula sebagai ketua jurulatih pada Julai 2024 bagi penggal keduanya, dengan kontraknya dijadual berakhir selepas saingan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2027 yang akan berlangsung dari Januari hingga Februari tahun depan.

Pada kejohanan Piala Dunia kali ini, Korea Selatan menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dengan mengumpul tiga mata hasil satu kemenangan dan dua kekalahan.

Pasukan itu mengharapkan peluang untuk mara ke pusingan 32 sebagai satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik, namun impian itu berkubur selepas tamat aksi peringkat kumpulan pada Sabtu.

Hong sebelum ini turut gagal membawa Korea Selatan melepasi peringkat kumpulan ketika mengendalikan pasukan itu pada Piala Dunia 2014.

Beliau merupakan satu-satunya individu yang pernah membimbing Korea Selatan sebagai ketua jurulatih dalam dua edisi Piala Dunia.

-- BERNAMA-YONHAP