KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Juara bertahan Argentina mara ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Switzerland 3-1 pada aksi di Stadium Kansas City, Kansas City, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Switzerland memulakan perlawanan suku akhir itu dengan agresif dan mencemaskan pasukan lawan pada minit ketujuh tetapi percubaan Granit Xhaka sedikit tersasar.
Walaupun diasak Switzerland pada awal permainan, pemain tengah Alexis Mac Allister berjaya meletakkan skuad kendalian Lionel Scaloni di hadapan tiga minit kemudian menerusi tandukan hasil sepakan penjuru kapten pasukan dan bintang utama Lionel Messi.
Skuad kendalian Murat Yakin bekerja keras mencari gol penyamaan, namun percubaan Djibril Sow tepat ke dakapan Emiliano Martinez pada minit ke-20 ketika Argentina mengekalkan kelebihan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung pada babak kedua, Martinez melakukan dua aksi menyelamat berturut-turut apabila menafikan tandukan leret pemain sayap Dan Ndoye pada minit ke-65 sebelum menepis percubaan jarak jauh Xhaka beberapa minit kemudian.
Kerja keras Switzerland akhirnya membuahkan hasil apabila Ndoye melakukan larian dari sebelah kiri, bertukar hantaran dengan pemain pertahanan kiri Ricardo Rodriguez sebelum tenang menewaskan Martinez untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Switzerland bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila penyerang Breel Embolo dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua susulan tindakan melakukan simulasi setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) pada minit ke-72.
Messi hampir menghadiahkan gol kemenangan Argentina namun percubaan kaki kanannya sedikit tersasar pada masa kecederaan babak kedua manakala percubaan akrobatik pertahanan Lisandro Martinez berjaya diselamatkan penjaga gol Gregor Kobel, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pada masa tambahan, juara dunia tiga kali itu terus mengasak Switzerland di kawasan sendiri dan hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-95 tetapi rembatan pemain gantian Thiago Almada sekadar menggegar sisi jaring.
Selepas melancarkan serangan bertali arus, skuad La Albiceleste akhirnya merobek benteng pertahanan Switzerland apabila Messi memaksa Kobel melakukan satu lagi aksi menyelamat cemerlang sebelum penyerang Julian Alvarez melepaskan rembatan kencang yang gagal disekat ke penjuru gawang pada minit ke-112.
Penyerang Lautaro Martinez melengkapkan kemenangan Argentina apabila mudah menolak masuk bola ke dalam gawang hasil serangan balas pantas pada penghujung masa tambahan babak kedua, sekali gus membawa pasukan itu mara ke kelompok empat terbaik.
Argentina akan menentang England di Stadium Atlanta, Atlanta selepas juara Piala Dunia 1966 itu menewaskan Norway 2-1 di Stadium Miami, Miami dalam satu lagi aksi yang berlangsung lebih awal.
-- BERNAMA