ATLANTA (Amerika Syarikat), 15 Julai (Bernama-Xinhua) -- Pengendali England Thomas Tuchel berkata pasukannya memilih untuk menerima tekanan, bukannya dibayangi sejarah ketika skuad Three Lions memburu penampilan pertama ke final Piala Dunia dalam tempoh 60 tahun menentang Argentina pada Rabu, lapor Xinhua.
Perlawanan separuh akhir di Atlanta itu mempertemukan England dengan Argentina yang memburu kejuaraan berturut-turut selepas menjuarai edisi 2022 di Qatar, manakala skuad kendalian Tuchel memburu gelaran Piala Dunia pertama sejak 1966.
"Ia satu persaingan besar -- membabitkan dua negara yang mempunyai tradisi bola sepak yang kuat, seperti yang diketahui setiap peminat, dan semua orang tahu apa yang dibawa oleh pertemuan ini,” kata Tuchel pada sidang media pada Selasa.
"Kami menjangkakan satu perlawanan yang sengit, penuh emosi dengan banyak perubahan momentum. Saya akan terkejut jika keadaannya sebaliknya."
England memiliki rekod pertemuan lebih baik berbanding Argentina di Piala Dunia dengan tiga kemenangan daripada lima pertemuan sebelum ini.
Namun, dua kemenangan Argentina boleh dikatakan paling diingati.
Satu daripadanya ialah kemenangan pada suku akhir Piala Dunia 1986 yang terpahat dalam sejarah kejohanan menerusi dua gol Diego Maradona, manakala satu lagi ialah pertembungan pusingan 16 terbaik pada 1998 yang dimenangi Argentina menerusi penentuan sepakan penalti selepas David Beckham dilayangkan kad merah.
Menurut Tuchel, pasukannya tidak menjadikan sejarah pertemuan itu sebagai pembakar semangat.
"Kami tahu mengapa kami berada di sini, kami tahu apa yang kami mahukan dan kami tidak pernah segan untuk menyatakannya atau mengimpikannya. Kami kini berada di separuh akhir, kami sangat dahagakan kemenangan dan mahukan satu lagi kemenangan.
"Kami menghormati lawan, tetapi kami tidak mahu mengimbau sejarah pertemuan lalu atau menjadikannya lebih besar daripada yang sepatutnya. Ia tetap satu perlawanan besar. Kami teruja, merendah diri dan menantikan perlawanan ini," kata Tuchel.
Tuchel turut memuji kapten Argentina Lionel Messi dan mengakui tiada tahap perancangan yang mungkin cukup untuk menyekat pemenang Ballon d'Or sebanyak lapan kali itu.
Messi, 39, kini telah menjaringkan 21 gol sepanjang penampilannya di Piala Dunia dan berkongsi kedudukan pendahulu senarai penjaring terbanyak kejohanan bersama penyerang Perancis Kylian Mbappe, masing-masing dengan lapan gol.
Menurut jurulatih dari Jerman itu, semua orang tahu ruang yang gemar diisi Messi.
"Beliau melihat ruang lebih awal daripada pemain lain di atas padang, menerima bola dan melaksanakan gerakan pada tahap tertinggi. Kami percaya kami telah mengenal pasti beberapa corak permainannya, tetapi jika kami menutup ruang itu, mungkin beliau akan menemui ruang baharu."
"Sungguh luar biasa bagaimana beliau memimpin pasukan ini. Tiada lagi kata-kata yang mampu menggambarkan pencapaian, tanggungjawab dan kualiti seperti ini. Sekali lagi dalam kejohanan ini beliau menjadi pemimpin dan pemain utama, bagi mana-mana pasukan yang diwakilinya dan sudah tentu bagi Argentina," katanya.
Walaupun begitu, Tuchel berkata England perlu berpegang kepada pelan permainannya sendiri sambil mengakui pasukannya turut memiliki bintang seperti Harry Kane dan Jude Bellingham yang telah menjaringkan 12 gol secara keseluruhan dalam kejohanan itu.
"Banyak perkara perlu diberi perhatian, tetapi kami perlu bermain mengikut corak kami sendiri dan menggunakan kekuatan yang ada," katanya.
Perlawanan di Stadium Atlanta itu merupakan penampilan separuh akhir kedua berturut-turut England dalam kejohanan utama selepas mara ke final Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Tuchel menggalakkan pemainnya menikmati detik itu dan menjadikan tekanan sebagai sumber motivasi.
"Ia membakar semangat saya dan membuatkan saya berasa benar-benar hidup. Saya amat menyukainya dan ia memberi tenaga kepada saya setiap hari," katanya.
"Saya fikir pemain kedua-dua pasukan sedar akan makna perlawanan ini. Apabila sesuatu pertemuan telah melahirkan begitu banyak detik ikonik, anda tidak boleh menganggapnya sekadar satu lagi perlawanan bola sepak.
"Namun sebagai jurulatih, kami memberi tumpuan kepada perkara yang boleh kami pengaruhi. Saya dan pasukan kejurulatihan tidak bercakap mengenai detik-detik ikonik itu -- detik dan ketegangan itu sendiri sudah cukup besar," katanya.
-- BERNAMA-XINHUA