Mexico Mudah Tumpaskan Afrika Selatan Dalam Perlawanan Pembukaan Piala Dunia 2026
ISTANBUL, 12 Jun (Bernama-Anadolu) -- Mexico mencatatkan kemenangan mudah 2-0 ke atas Afrika Selatan pada Khamis dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Julian Quinones menjaringkan gol pertama kejohanan itu apabila meletakkan Mexico di hadapan seawal minit ke-10. Mexico terus menguasai baki separuh masa pertama dengan melakukan 10 percubaan, termasuk dua tepat ke sasaran, manakala Afrika Selatan bergelut mencipta peluang.
Pemain Afrika Selatan, Teboho Mokoena, menerima kad kuning pertama kejohanan itu, diikuti tidak lama kemudian oleh pemain Mexico, Brian Gutierrez.
Tidak lama selepas babak kedua bermula, pemain Afrika Selatan Yaya Sithole menggagalkan peluang keemasan Gutierrez untuk menjaringkan gol dan dilayangkan kad merah pertama kejohanan itu, sekali gus menyaksikan Bafana Bafana beraksi dengan hanya 10 pemain di atas padang.
Kad merah Sithole merupakan yang pertama dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia sejak pemain Bolivia Marco Etcheverry dilayangkan kad merah ketika menentang Jerman pada 1994.
Masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-66, Gilberto Mora yang berusia 17 tahun dan 239 hari menjadi pemain termuda mewakili Mexico dalam Piala Dunia.
Mexico menggandakan kelebihan menerusi tandukan penyerang berpengalaman Raul Jimenez pada minit ke-67.
Afrika Selatan kemudian beraksi dengan sembilan pemain selepas Themba Zwane dilayangkan kad merah kerana berkelakuan ganas pada minit ke-85, kali pertama insiden sedemikian berlaku sejak Portugal dan Belanda masing-masing kehilangan dua pemain ketika menentang satu sama lain dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2006.
Pemain Mexico, Cesar Montes turut dilayangkan kad merah kerana menggagalkan peluang Khuliso Mudau untuk menjaringkan gol, menyebabkan Mexico beraksi dengan 10 pemain.
Kemenangan itu menyaksikan Mexico mendahului Kumpulan A, manakala Afrika Selatan berada di kedudukan tercorot.
-- BERNAMA-ANADOLU
Piala