Hamidin Diberi Tanggungjawab Di Piala Dunia 2026
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin diberi kepercayaan menggalas jawatan ketua delegasi serta wakil kepada Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino, bagi beberapa venue Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Syarikat.
Hamidin berkata beliau diamanahkan Infantino untuk memastikan kelancaran penganjuran dan perjalanan semua perlawanan di dua bandar raya, iaitu Los Angeles dan San Francisco selaras dengan peranannya sebagai Ahli Majlis FIFA.
“Saya antara Ahli Majlis FIFA. Jadi, edisi kali ini membabitkan 16 lokasi yang berjauhan dan sebab itu saya dilantik sebagai ketua delegasi serta wakil Presiden FIFA yang bertanggungjawab di Los Angeles dan San Francisco.
“Tugas saya merangkumi pemantauan kelancaran perlawanan di kedua-dua venue itu bermula daripada peringkat kumpulan. Selepas itu, sehingga peringkat suku akhir saya akan berpangkalan di Los Angeles. Saya juga akan terlibat sehingga peringkat separuh akhir dan final,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Saingan Piala Dunia FIFA 2026 membuka tirai awal pagi tadi menerusi aksi pembukaan Kumpulan A antara tuan rumah Mexico dengan Afrika Selatan yang berlangsung pada 3 pagi waktu Malaysia.
Piala Dunia FIFA 2026 ialah edisi terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan penyertaan 48 pasukan.
-- BERNAMA
Piala