AS Mulakan Kempen Piala Dunia Dengan Kemenangan Besar Ke Atas Paraguay

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group D - United States v Paraguay - Los Angeles Stadium, Inglewood, California, U.S. - June 12, 2026 Folarin Balogun of the U.S. scores their third goal IMAGN IMAGES via Reuters/Kiyoshi Mio
13/06/2026 02:15 PM

ISTANBUL, 13 Jun (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan cemerlang selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Paraguay pada Jumaat dalam aksi Kumpulan D di Stadium Los Angeles, lapor Anadolu Ajansi (AA).

AS mendahului seawal minit ketujuh selepas pemain tengah Paraguay Damian Bobadilla menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang ke dalam kotak penalti, meskipun pemain tengah AS Christian Pulisic diberi pujian kerana mencipta peluang berkenaan.

Beberapa minit berikutnya menyaksikan AS terus meningkatkan tekanan dan mencipta peluang ketika Paraguay lebih banyak bertahan.

AS menggandakan kelebihan pasukan menerusi penyerang Folarin Balogun yang meledak gol pada minit ke-31, dengan Pulisic sekali lagi memainkan peranan besar dalam jaringan itu.

Separuh masa pertama berakhir dengan Balogun menjaringkan gol kedua peribadinya, sekali gus gol ketiga pasukan, dengan tiga gol AS dalam tempoh 45 minit itu menyamai jumlah jaringan mereka sepanjang kempen Piala Dunia 2022.

AS terus menguasai permainan pada awal babak kedua ketika Paraguay bergelut mengekang corak permainan menyerang pantas lawan.

Paraguay bangkit memberi saingan pada penghujung perlawanan menerusi jaringan pemain tengah Mauricio pada minit ke-73, gol pertama pasukan itu dalam kejohanan berkenaan, namun ia tidak mencukupi untuk mengubah keputusan perlawanan.

Giovanni Reyna melengkapkan kemenangan bergaya AS apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-90+8 bagi mengembalikan kelebihan tiga gol pasukannya.

Kemenangan itu meletakkan AS di tangga teratas Kumpulan D manakala Paraguay menghuni kedudukan tercorot.

-- BERNAMA-ANADOLU