Hasrat Pemain Belgium Doku Berada Di Sisi Isteri Ketika Lahirkan Anak Sulung

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Trophy arrives in Mexico City - Mexico City, Mexico - June 5, 2026 A man takes a photo of a football during the trophy tour event REUTERS/Henry Romero
16/06/2026 08:11 AM

NEW YORK, 15 Jun (Bernama-PA Media/dpa) -- Jeremy Doku menyatakan hasratnya untuk berada di sisi isteri bagi menyambut kelahiran anak sulung mereka bulan depan, sekali gus berpotensi mencetuskan dilema buat skuad The Red Devils pada kempen Piala Dunia, lapor PA Media/dpa.

Isteri kepada pemain sayap Manchester City berusia 24 tahun itu, Shireen, dijangka melahirkan anak pada minggu kedua Julai, iaitu sekitar peringkat suku akhir Piala Dunia.

"Jika anda tanya apa yang saya mahukan, jawapan saya ialah tiada sesiapa pun yang mahu terlepas detik kelahiran anak sulung mereka. Namun, saya juga sedar bahawa sukan bola sepak melibatkan banyak pertimbangan lain," kata Doku kepada wartawan Belgium.

"Saya tahu pihak persekutuan sentiasa menyokong para pemain dan memahami situasi mereka. Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan nanti."

Media Belgium melaporkan bahawa sebuah pesawat peribadi ke England, lokasi anak itu dijangka dilahirkan, berkemungkinan besar akan disediakan dan Doku akan kembali semula ke Amerika Syarikat selepas itu sekiranya Belgium masih bersaing dalam kejohanan berkenaan.

Belgium akan memulakan kempen Piala Dunia mereka menentang Mesir di Seattle pada lewat Isnin.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa