Gol Lewat Nafikan Kemenangan Arab Saudi Dalam Aksi Pembukaan Piala Dunia Menentang Uruguay

-- REUTERS
16/06/2026 10:21 AM

ISTANBUL, 16 Jun (Bernama-Anadolu) -- Arab Saudi dan Uruguay terikat 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Miami pada Isnin selepas kedua-dua pasukan buntu mencari kemenangan, lapor Anadolu Ajansi.

Pertahanan Arab Saudi Abdulelah Alamri memecah kebuntuan pada minit ke-41 apabila menyambar bola muntah selepas penjaga gol Fernando Muslera menepis tandukan Mohamed Kanno hasil sepakan penjuru.

Uruguay meningkatkan intensiti serangan pada babak kedua, dengan Manuel Ugarte menggegarkan tiang gol menerusi rembatan dari luar kawasan penalti pada minit ke-60.

Pasukan dari Amerika Selatan itu akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 menerusi Maxi Araujo, 26, yang mengambil kesempatan daripada tandukan Federico Vinas yang ditepis penjaga gol sebelum melepaskan rembatan kaki kiri dari sudut sukar.

Walaupun melakukan 11 percubaan tepat ke sasaran dan menguasai penguasaan bola pada penghujung permainan, Uruguay gagal mencari gol kemenangan.

Susulan keputusan seri antara wakil Asia dan Amerika Selatan itu, kesemua pasukan dalam Kumpulan H menamatkan aksi pembukaan dengan masing-masing mengutip satu mata. Terdahulu pada hari yang sama, Sepanyol dan Cape Verde berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan.

-- BERNAMA-ANADOLU