Thomas Partey Gagal Dalam Rayuan Terhadap Penolakan Visa Kanada

FILE PHOTO: Oct 17, 2023; Nashville, Tennessee, USA; Ghana midfielder Thomas Partey (5) handles the ball against United States midfielder Gio Reyna (7) during the first half at GEODIS Park. Mandatory Credit: Christopher Hanewinckel-USA TODAY Sports/File Photo
17/06/2026 10:29 AM

LONDON, 17 Jun (Bernama-PA Media/dpa) -- Rayuan pemain Ghana, Thomas Partey terhadap keputusan menolak permohonan visanya ke Kanada bagi menghadiri Piala Dunia gagal, dengan dokumen mahkamah mendedahkan bahawa permohonan visa asal tidak menyatakan pertuduhan jenayah yang sedang dihadapinya di United Kingdom (UK), lapor PA Media/dpa.

Permohonan Visa Pemastautin Sementara (TRV) dikemukakan pada 21 Mei, namun apabila ditanya sama ada pernah melakukan, ditahan, didakwa atau disabitkan atas sebarang kesalahan jenayah di mana-mana negara, jawapan yang diberikan ialah "Tidak".

Bekas pemain tengah Arsenal berusia 33 tahun itu menafikan tujuh pertuduhan rogol dan satu pertuduhan serangan seksual yang melibatkan dakwaan oleh empat wanita berbeza antara 2020 hingga 2022 dan dijadualkan dibicarakan tahun depan.

Surat daripada Jabatan Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada (IRCC) bertarikh 25 Mei yang ditujukan kepada Partey menyatakan kebimbangan sama ada permohonannya memenuhi syarat untuk "memberikan jawapan yang benar".

Surat itu turut memaklumkan bahawa dia mungkin tidak layak menerima visa pemastautin sementara di bawah peruntukan undang-undang yang melibatkan salah nyata maklumat.

Mahkamah persekutuan, dalam keputusannya pada Selasa yang menolak usul itu menyatakan bahawa maklum balas terhadap surat berkenaan serta afidavit yang dikemukakan Partey kepada mahkamah "gagal mengakui, apatah lagi menjelaskan mengapa maklumat penting itu tidak dimasukkan dalam permohonannya."

Dokumen berkaitan pertuduhan berkenaan dihantar kepada IRCC oleh Persatuan Bola Sepak Ghana pada 27 Mei. 

Ghana akan menentang Panama di Toronto pada Rabu tanpa khidmat Partey sebelum berdepan England di Boston pada 23 Jun. Bagaimanapun, Partey telah diberikan visa untuk memasuki Amerika Syarikat.

Mahkamah memutuskan bahawa pegawai yang menolak permohonan visa Partey tidak melakukan sebarang kesilapan dari segi undang-undang apabila membuat keputusan berdasarkan kesalahan yang belum dibuktikan di mahkamah.

"Perenggan 36(1)(c) Akta Imigresen dan Perlindungan Pelarian (IRPA), berbeza daripada Perenggan 36(1)(b), tidak memerlukan sabitan kesalahan untuk mendapati pemohon tidak layak memasuki negara. 

"Sebaliknya , memadai jika terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan telah dilakukan," tulis Hakim Roger R. Lafreniere.

Persatuan Bola Sepak Ghana telah dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

-- BERNAMA-PA Media/dpa