Taeguk Warriors Ditewaskan Afrika Selatan, Peluang Ke Pusingan Kalah Mati Masih Samar

--REUTERS
25/06/2026 01:58 PM

GUADALUPE (Mexico), 24 Jun (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan menduduki tempat ketiga kumpulan pada Piala Dunia FIFA susulan kekalahan 0-1 kepada Afrika Selatan di timur laut Mexico pada Rabu, sekali gus menjadikan peluang mereka untuk ke pusingan kalah mati belum pasti, lapor Agensi Berita Yonhap.

Thapelo Maseko menjaringkan gol untuk Afrika Selatan pada minit ke-63 dan Korea Selatan gagal bertindak balas di Estadio Monterrey di Guadalupe ketika mereka mengalami kekalahan kedua dalam Kumpulan A.

Korea Selatan, pasukan nombor 25 dunia, menduduki tempat ketiga dengan tiga mata daripada satu kemenangan dan dua kekalahan.

Taegeuk Warriors sebelum itu menewaskan Republik Czech 2-1 namun tumbang kepada Mexico 0-1.

Mexico merangkul tempat teratas Kumpulan A dengan kemenangan itu, dan Korea Selatan memerlukan kemenangan atau seri menentang Afrika Selatan yang menduduki ranking ke-60 untuk menyertai Mexico dalam pusingan 32 sebagai naib juara Kumpulan A.

Bagaimanapun, Afrika Selatan melangkau Korea Selatan untuk ke tempat kedua, manakala Mexico menewaskan Czechia 3-0 bagi menamatkan peringkat kumpulan dengan mata sempurna.

Dengan kejohanan tahun ini yang menampilkan 48 negara, meningkat daripada 32 sebelumnya, dua pasukan teratas daripada setiap 12 kumpulan mendapat tempat automatik dalam kalah mati, berserta lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

Dengan Kumpulan A, B dan C telah menamatkan permainan mereka, Korea Selatan berada di tempat keempat dalam pasukan tempat ketiga.

Peringkat kumpulan akan berakhir pada Sabtu dengan pasukan dalam Kumpulan J, K dan L beraksi di Amerika Syarikat.

Perbezaan gol menjadi penentu utama diikuti jaringan gol. Jika Korea Selatan mara ke kalah mati sebagai pilihan ketiga daripada Kumpulan A, mereka akan sama ada menentang Jerman, pemenang Kumpulan E, di Stadium Boston di Foxborough, Massachusetts, atau menentang pemenang Kumpulan G di Stadium Seattle di Seattle.

-- BERNAMA-YONHAP