3 Maut Di Mexico Ketika Peminat Raikan Kemaraan Pasukan Ke Pusingan 16 Piala Dunia
MEXICO CITY, 1 Julai (Bernama-PA Media/dpa) -- Tiga individu maut di Bandar Raya Mexico selepas para penyokong turun ke jalanan bagi meraikan kejayaan pasukan negara mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia, lapor PA Media/dpa.
Mexico menewaskan Ecuador 2-0 di Stadium Azteca pada malam Selasa dan berkemungkinan menentang England di venue sama pada Ahad sekiranya anak buah Thomas Tuchel menewaskan Republik Demokratik Congo pada Rabu.
Akaun rasmi Sekretariat Kesihatan Awam Bandar Raya Mexico mengesahkan seorang lelaki berusia 44 tahun, seorang wanita berusia 19 tahun dan seorang lagi wanita berusia 48 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas, dengan semua kejadian berlaku berhampiran Paseo de la Reforma di pusat bandar.
Ketua Kerajaan Bandar Raya Mexico, Clara Brugada, menerusi akaun X miliknya menulis: "Seperti yang dimaklumkan oleh @SSaludCdMx, pasukan kecemasan Bandar Raya Mexico segera memberi respons terhadap laporan mengenai tiga individu yang tidak sedarkan diri di beberapa lokasi berhampiran Paseo de la Reforma. Semua protokol tindak balas perubatan telah diaktifkan, namun amat mendukacitakan mereka tidak dapat diselamatkan.
"Kami sedang berhubung dengan keluarga mangsa bagi memberikan segala sokongan dan bantuan yang diperlukan.
"Dengan penuh rasa dukacita, saya merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga dan insan tersayang mereka. Kami sekali lagi menyeru orang ramai agar sentiasa meraikan sesuatu dengan penuh tanggungjawab, berhati-hati dan saling bertimbang rasa."
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa
Piala