Beraksi Waktu Petang, Thomas Tuchel Mahu Hiburkan Peminat Muda England
ATLANTA (Georgia), 1 Julai (Bernama-PA Media/dpa) -- Pengurus England Thomas Tuchel mahu pasukan itu memastikan anak-anak kecil tidur dalam kegembiraan dengan kemenangan pusingan kalah mati Piala Dunia.
Bagaimanapun beliau memberi amaran pertemuan mereka menentang Republik Demokratik Congo mungkin bukan perlawanan paling menarik untuk ditonton, lapor PA Media/dpa.
Seluruh generasi peminat muda akan dapat menonton perlawanan England pertama mereka dalam kejohanan itu apabila pertandingan peringkat 32 terakhir di Atlanta bermula pada 5 petang waktu United Kingdom (UK) (1600 GMT).
Perlawanan kumpulan menentang Croatia dan Ghana bermula pada 9 malam dan kemenangan ke atas Panama pada Sabtu bermula 10 malam.
Pertembungan pada Rabu lebih sesuai untuk penonton yang bersekolah pada keesokan harinya dan Tuchel mahu menggembirakan mereka, walaupun beliau merasakan Congo mungkin cuba merosakkan permainan yang berjalan lancar.
"Kami suka untuk menghiburkan mereka. Mungkin kami perlu mentakrifkan hiburan," kata Tuchel. “Kami tidak tahu apa yang akan berlaku.
"Saya tidak mahu merosakkan jangkaan, sudah tentu. Tidak semua orang mahu bermain bola sepak yang menarik dan menyerang.
“Tetapi ia juga boleh menghiburkan jika anda merasakan semangat dan tenaga pasukan, dan semua orang yang dibenarkan menonton esok, kerana mereka perlu tidur awal seperti biasa, semoga mereka merasai semangat itu.
"Mudah-mudahan mereka merasakan betapa bermaknanya (semangat itu) kepada pasukan ini. Saya menyaksikannya setiap hari, saya merasakannya setiap hari dan semoga kami dapat menyampaikannya melalui TV dan membuat mereka bangga dan gembira."
England berharap permainan tidak berpanjangan hingga larut malam, namun mereka mungkin memerlukan masa tambahan dan penalti.
Dan penjaga gol Jordan Pickford bersedia untuk sebarang kemungkinan.
"Anda perlu bersedia untuk apa sahaja," katanya. “Apa sahaja boleh berlaku dan bagi kami sebagai England, kami mahu menang dalam masa 90 minit, tetapi jika ia mengambil masa 120 minit, jika ia memerlukan penalti, kami sudah bersedia.
"Kami telah melakukan semua latihan, dan kami bersedia untuk perlawanan itu."
-- BERNAMA-PA Media/dpa
Piala