FRANKFURT, 29 Julai (Bernama-dpa) -- Pegawai bola sepak Jerman pada Rabu menyertai kritikan keras terhadap rancangan FIFA untuk menjual pegangan dalam acara anjurannya, termasuk Piala Dunia, kepada pelabur swasta.
"Ramai dalam komuniti bola sepak Eropah melihat rancangan FIFA ini sebagai serangan secara langsung terhadap bola sepak. Saya berkongsi pandangan itu," kata Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan Naib Presiden Jawatankuasa Eksekutif UEFA Hans-Joachim Watzke kepada majalah sukan Kicker, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Satu garis telah dilangkaui. Terdapat kesepakatan meluas mengenai perkara ini dalam kalangan persatuan anggota, sebagaimana ditunjukkan menerusi beberapa perbincangan yang saya adakan sejak beberapa hari lalu dengan (Presiden UEFA) Aleksander Ceferin dan rakan-rakan lain.
"Pada Piala Dunia, enam pasukan Eropah mara ke suku akhir dan tiga ke separuh akhir. Jika bola sepak Eropah bersatu menentang rancangan ini, pendirian itu membawa pengaruh yang besar."
FIFA pada Selasa mengumumkan hasratnya menubuhkan anak syarikat FIFA Forward Enterprise (FFE) bagi menggabungkan pengurusan hak komersial dengan pelaksanaan operasi kejohanan anjurannya, khususnya Piala Dunia yang menjana pendapatan terbesar kepada badan itu.
FIFA berkata FFE akan dibuka kepada pelabur swasta untuk memperoleh pegangan minoriti dan menilai entiti itu pada US$20 bilion.
Presiden FIFA Gianni Infantino dilaporkan telah menulis kepada 211 persatuan anggota dengan memaklumkan bahawa setiap persatuan akan menerima US$40 juta, termasuk bayaran awal US$20 juta, sekiranya mereka menyokong pelan itu menjelang 19 Sept. Persatuan yang tidak menyertainya hanya layak menerima US$2.7 juta menerusi skim agihan global sedia ada.
Ahli Lembaga Pengarah Bayern Munich Max Eberl menyifatkan rancangan FIFA itu sebagai "memalukan" dan berkata: "Saya berasa malu kerana kita dalam dunia bola sepak bercakap mengenai idea seperti ini.
"Seperti yang dikatakan penyokong, bola sepak bukan milik kita. Ia adalah satu permainan," katanya pada majlis memperkenalkan pemain baharu Bayern Munich, Nathaniel Brown.
"Bagi saya, FIFA wujud untuk menyokong bola sepak, membentuk struktur dan peraturannya serta menganjurkan Piala Dunia. Pada masa ini, saya merasakan FIFA hanya wujud untuk meraih keuntungan.
"Malah saya sendiri, yang benar-benar hidup dalam dunia bola sepak, berasa jijik dengan perkara ini."
Eberl berkata beliau mengalu-alukan kecaman keras UEFA terhadap rancangan itu, selain mengulas khabar angin bahawa UEFA mungkin mempertimbangkan untuk memulaukan kejohanan anjuran FIFA.
"Saya bukan penyokong tindakan memulau kerana saya percaya kepada dialog. Namun, jika sampai ke tahap itu, saya sebenarnya menyokong Eropah bersatu dan berkata: 'Tidak, kami tidak akan menyokongnya kerana itu bukan semangat sukan kami,'" katanya.
Jurulatih VfB Stuttgart Sebastian Hoeness menyifatkan rancangan FIFA itu sebagai "malapetaka", manakala Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund Carsten Cramer berkata beliau sama sekali tidak memahami mengapa FIFA mahu mengambil langkah sedemikian.
"Saya tidak memahami rasional di sebalik rancangan ini," kata Cramer ketika jelajah pramusim Dortmund di Jepun.
"Bukan sahaja tanggapan pertama saya, malah maklum balas awal yang diterima juga langsung tidak positif. Mengapa FIFA merasakan ia perlu mencipta sesuatu yang baharu sedangkan sistem sedia ada berfungsi? Pada pandangan saya, inisiatif ini bukan idea yang baik sama sekali."
-- BERNAMA-dpa