Piala Dunia 2026 Pecah Rekod Kehadiran Sepanjang Zaman Dengan 3.6 Juta Peminat
NEW JERSEY, 26 Jun (Bernama-WAM) -- Piala Dunia 2026 pada Khamis menjadi kejohanan dengan jumlah kehadiran penonton tertinggi dalam sejarah Piala Dunia, sekali gus mengatasi rekod tahun 1994 yang mencatatkan hampir 3.6 juta penonton, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM) yang memetik kenyataan FIFA.
Pengumuman itu dibuat semasa separuh masa kedua perlawanan antara Jerman dan Ecuador di East Rutherford, New Jersey, apabila skrin besar memaparkan rekod kehadiran baharu sepanjang zaman iaitu sebanyak 3,605,357 penonton, sambil diiringi sorakan gemuruh daripada penyokong di dalam stadium.
Dengan baki 48 perlawanan lagi dalam kejohanan ini, jumlah keseluruhan kehadiran berpotensi meningkat hampir dua kali ganda berbanding rekod 1994, yang dicatatkan ketika Piala Dunia hanya menampilkan 52 perlawanan.
Purata kehadiran penonton di stadium sepanjang kejohanan 2026 ini mencecah lebih daripada 99 peratus kapasiti penuh.
Presiden FIFA Gianni Infantino berkata pencapaian ini mencerminkan minat yang mendalam terhadap bola sepak di peringkat global serta keupayaannya untuk menyatukan orang ramai dalam suasana kegembiraan dan keraian, sambil menyatakan yang suasana yang disaksikan di seluruh 16 bandar raya tuan rumah serta stadium mereka adalah sangat luar biasa.
-- BERNAMA-WAM
Piala