Ronald Koeman Letak Jawatan Sebagai Jurulatih Belanda

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 32 - Netherlands v Morocco - Estadio Monterrey, Monterrey, Mexico - June 29, 2026 Netherlands coach Ronald Koeman and his coaching staff before the match REUTERS/Daniel Becerril
01/07/2026 01:38 PM

LONDON, 1 Julai (Bernama-PA Media/dpa) -- Ronald Koeman meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Belanda buat kali kedua selepas pasukannya tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti kepada Maghribi pada Piala Dunia 2026.

Koeman, 63, sebelum ini membimbing Belanda dari 2018 hingga 2020 sebelum meninggalkan pasukan itu untuk mengendalikan Barcelona.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik oleh Persekutuan Bola Sepak Belanda di Instagram, Koeman berkata keputusan itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan beliau telah bekerja dengan barisan kejurulatihan serta kumpulan pemain itu sejak sekian lama.

"Saya amat berterima kasih dan ingin merakamkan penghargaan yang tulus ikhlas atas komitmen yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat bersama Oranje sepanjang dua tempoh saya sebagai ketua jurulatih.

"Saya memutuskan bahawa inilah masa yang sesuai untuk meluangkan lebih banyak masa bersama isteri, anak-anak dan cucu-cucu saya. 

"Ketika ini, saya merasakan itulah keputusan yang paling tepat dan paling wajar," katanya.

Belanda mara dengan bergaya ke pusingan 32 selepas muncul juara Kumpulan F, termasuk mencatat kemenangan 5-1 ke atas Sweden.

Bagaimanapun, mereka hanya beberapa saat daripada melangkah ke pusingan 16 sebelum Issa Diop menyamakan kedudukan pada masa kecederaan, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa